Masjid Al-Munir Kampung Darau, Manggatal telah dibina pada tahun 2012 di tapak masjid sedia ada selepas berpindah dari tapak asalnya di kawasan Pogun, Kampung Darau Lama. Perpindahan ini dibuat susulan kerja-kerja pembesaran sungai yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan pada ketika itu.
Nama asal Masjid Al-Munir ialah Madrasah Darau. Namun pada sekitar tahun 1990-an, madrasah ini telah dinaik taraf kepada masjid setelah mendapat saranan daripada Mufti Negeri Sabah ketika itu, Allahyarham Tuan Haji Ismail Abbas, bagi membolehkan solat Jumaat didirikan. Seiring dengan penaiktarafan tersebut, nama masjid telah ditukar kepada Masjid Al-Munir, iaitu nama yang digunakan sehingga kini.
Masjid Al-Munir mula dibuka dan digunakan sepenuhnya pada tahun 2012, dan sejak itu telah menerima jemaah dari kawasan Kampung Darau, Menggatal, serta jemaah luar yang singgah untuk menunaikan ibadah. Sejak pembinaannya, pelbagai usaha penambahbaikan dan penambahan binaan telah dilaksanakan secara berperingkat bagi menampung pertambahan jumlah jemaah, khususnya semasa solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri.
Selain berperanan sebagai pusat ibadah, Masjid Al-Munir turut memberi perhatian kepada kebajikan kariah dan penduduk kampung. Antara inisiatif yang telah diwujudkan termasuk Dana Khairat Kematian, bantuan kepada golongan asnaf, serta pelbagai aktiviti kebajikan lain.
Pada tahun 2021, negara telah dilanda wabak Covid-19, yang turut memberi kesan kepada institusi keagamaan termasuk Masjid Al-Munir. Walau bagaimanapun, masjid ini terus beroperasi dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan, antaranya berfungsi sebagai pusat agihan bantuan, melaungkan azan sebagai seruan solat di rumah, serta melaksanakan solat berjemaah dengan bilangan jemaah yang terhad.
Masjid Al-Munir juga pernah menerima kunjungan orang-orang kenamaan, di samping penceramah selebriti dan para ulama dari dalam serta luar negara. Kini, masjid ini menjadi antara masjid pilihan untuk penganjuran majlis-majlis keagamaan serta program anjuran pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO.
Dengan fasiliti yang semakin lengkap, Masjid Al-Munir kini mampu menampung kira-kira 1,000 orang jemaah, merangkumi ruang solat utama, ruang solat muslimah yang luas, dewan serbaguna, bilik imam, bilik mesyuarat, bilik pengurusan jenazah, ruang kuliah, serta dua unit gerai untuk disewa, di samping fasiliti lain yang sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
Bagi memastikan pengurusan kewangan yang lebih teratur dan telus, Masjid Al-Munir mempunyai dua akaun bank, iaitu Bank Islam dan Co-op Pertama Bank, khusus untuk pengurusan dana dan sumbangan masjid.